Monday, 06 September 2010       
 
KOLEJ ISLAM SULTAN ALAM SHAH
   
Main Menu
Laman Utama
Pentadbiran
Tenaga Pendidik
Peta Lokasi
Carian
Pautan
Hubungi Kami
Berita KISAS
Laman Waqafan
Nostalgia
EDU WEBtv
Keputusan Peperiksaan Online (SMBP)
User Menu
Apabila Jantung Masih Berdegup PDF Print E-mail
Monday, 06 October 2008
Apabila Jantung Masih Berdegup  Hajah Fatimah melepaskan nafas berat. Beratnya tidak terjangkau oleh mata, tapi jauh bersembunyi di sangkar hati. Setelah solat Asar berjemaah dengan suaminya tadi, dia menunggu siaran berita. Siaran yang sedang berlangsung tidak menarik perhatiannya. Zaid, anak sulungnya itu ada di dalam bilik. Entah apa yang dibuatnya. Suaminya masih berteleku dia atas sejadah di ruang solat, membaca ma’thurat dan mengaji al-Quran. Fuad? Selalunya, anak bongsunya itu rajin bersukan petang-petang begini. Kalau tidak bermain badminton di rumah Rasyid, tentu dia pergi memancing bersama Baskran di sungai di pinggir kampung. Anaknya itu memang peramah dan aktif orangnya. Sahabatnya yang paling akrab, Baskran. Anak Chinniah yang berbadan tegap dan lebat bulu dadanya itu. Mereka telah berkawan rapat sejak kecil lagi. Hajah Fatimah pejam mata. Dikatup bibirnya rapat-rapat. Dia sudah berumur. Suaminya Haji Hassan juga telah tua rentah. Di ambang senja kehidupan, Tuhan masih mengirimkan ujian yang maha berat kepada mereka. Namun, dia redha. Pasrah. “Dua sayap orang-orang yang beriman ialah syukur dan sabar. Dengan sayap inilah kita meluncur terbang, melayah dan menjunam menentang deru dan taufan cabaran dalam kehidupan yang singkat ini.” Begitulah pesan suaminya selalu. Masih dia ingat tentang itu. Baskran datang ke rumahnya, mengajak Fuad ke perpustakaan awam di pekan. “Ya Allah!” Suara Haji Hassan yang sedang menonton berita menarik perhatian semua. “Kenapa abah?” Fuad menyoal. Abahnya tidak menjawab. Matanya terus tertumpu ke skrin televisyen. “Dengan faktor masa yang semakin singkat, Tee Kim Wah, penerima jantung mekanikal ketiga Negara hanya mampu tabah menjalani kehidupan seharian dengan alat bantuan denyutan ventrikal (PVAD), semasa jerih menunggu kemunculan penderma baru, selepas penantian sejak setahun lalu itu mulai memamah bibit-bibit harapan yang tinggal.” Pemberita TV3 yang bertudung itu membacakan berita sayu itu.  “Kesiannya dia,” gumam Fuad antara dengar atau tidak. “Remaja berusia 14 tahun itu tetap yakin suatu hari nanti akan ada rakyat Malaysia yang prihatin dan pemurah tampil menderma jantung baru, satu-satunya hadiah berharga yang amat diharap-harapkannya selama ini. Jika sebelum ini Tee sering kelihatan ceria setiap kali menerima kunjungan media, namun hari ini wajahnya itu tidak dapat menyembuniyikan rasa gelisah dan suram. Suasana bertambah pilu apabila anak sulung daripada tiga beradik itu mula mengalirkan air mata pada sidang media yang diadakan di Wad Cempaka, Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.” “Siapa yang boleh menderma jantung?” Baskran menyoal, pelik. “Kita semua hanya ada satu jantung sahaja. Bagaimana kita hendak menderma?” Hajah Fatimah yang sejak dari tadi mendengar dari dapur membawa sepiring buah jambu yang telah dipotong kecil-kecil. “Jemput Baskran.” Baskran hanya mengangguk, sedangkan matanya masih tertumpu kepada siaran berita yang sedang berlangsung. Haji Hassan yang sejak dari tadi duduk di kerusi rotan di sudut sana tidak bergerak langsung. Fuad yang duduk di sebelah Baskran juga tidak berganjak. Semua mata tertumpu pada kisah sayu yang sedang dipaparkan. Kelihatan wajah gadis remaja Cina berwajah pucat di kaca televisyen. Wajahnya kelihatan murung dan muram. “Saya sedih kerana masih perlu menggunakan PVAD ini sehingga hari ini. Saya tahu mesin ini hanya mampu bertahan sehingga dua tahun, dan hari ini tempohnya sudah genap setahun. Cuma ada setahun lagi untuk saya bertahan dengan menggunakan mesin ini. Saya tidak akan putus asa dan akan kuat semangat menunggu penderma jantung baru. Saya yakin di luar sana ramai yang sudi membantu saya,” katanya kepada pemberita. Baskran menjulur tangan, mencapai sepotong buah jambu dan menyuakan ke mulutnya lalu mengunyah lambat-lambat sebelum telan. “Orang dah mati, bolehlah menderma. Wasiatkan sebelum mereka meninggal,” Haji Hassan bersuara perlahan. “Kesian budak ini. Masih muda lagi dah terpaksa melalui ujian seberat ini.” Fuad berdiri. “Sekejap ya, Baskran. Aku masuk dalam sekejap. Lepas ini kita pergi.” “Eh, nak ke mana pula?” Baskran menyoalnya kembali. “Kau dah lupa, ke? Habis tu bukan kau datang ke sini untuk mengajak aku ke perpustakaan? Ayoyo, Baskran pun perlu dimasukkan ke hospital nampaknya. Dia telah diserang virus ‘lupa’,” Fuad menjawab sambil berlucu. Semua tertawa. Baskran menepuk kepala. “Okey, okey,” katanya. Fuad menghilang ke dalam biliknya. Di ruang tamu, semua masih tertumpu pada siaran berita yang sedang ke udara. “Kami mengharapkan sangat penderma yang bersesuaian akan muncul tidak lama lagi. Rasa sedih dan sayu bila melihat kanak-kanak seusia Tee terpaksa mengheret beg yang berisi bateri PVAD sepanjang masa, memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Dia juga kelihatan semakin kurus kerana tiada selera makan,” kata doktor yang merawat Tee Kim Wah. “Kami terpaksa menggunakan tiub untuk memasukkan bahan makanan tambahan ke dalam badan Tee supaya dia tidak menjadi lemah.” Fuad keluar dari bilik. Ditangannya terdapat dua buah buku Sejarah, buku Teks dan buku kerja. Di penghujung tahun ini, SPM akan menjenguk. Dia dan Baskran perlu selalu mengulang kaji pelajaran. “Mari Baskran.” Fuad menghampiri Hajah Fatimah yang sedang duduk lalu mencium tangan ibunya itu. “Saya pergi dulu mak. Abah.” Haji Hassan hanya mengangguk. Baskran meminta diri lalu membuntuti Fuad yang sedang keluar ke halaman. Kedengaran bunyi motosikal Honda Wave milik Fuad dihidupkan dan perlahan-lahan bunyi deruman enjin sayup-sayup ditelan kejauhan. “Bolehkah kita menderma organ, bang? Nanti macam mana bila kita dibangkitkan semula nanti? Habis tiada mata, jantung.” Hajah Fatimah menyoal suaminya. “Entah. Aku pun tak tahu dari sudut hukum.” “Boleh, mak.” Zaid sedang menghampiri ruang tamu. Dia mencapai sepotong buah jambu sebelum duduk di kusyen di hadapan televisyen itu. “Doktor Yusof al-Qardhawi penah keluarkan fatwa, menderma organ ibarat mendermakan harta.” “Bolehkah kita menderma kepada orang bukan Islam? Yelah, mungkin keharusan itu terbatas,” Haji Hassan menyoal anaknya itu, siswazah yang sedang menuntut tahun tiga, Fakulti Pengajian Islam UKM. Zaid yang sedang mengunyah jambu lekas-lekas mengunyah dan telan. “Memang terbatas. Ada syarat-syaratnya, seperti tidak boleh dijual beli dan dilakukan dengan kemahiran yang tinggi. Maknanya kena ada kepakaran. Untuk orang bukan Islam pun, Doktor Yusof Qardhawi kata boleh. Tapi dengan syarat, kena didahulukan orang Islam dulu kalau ada. Kemudian baru boleh didermakan kepada orang bukan Islam.” Haji Hassan mengangguk faham. Sedang tiga beranak itu berbual-bual mesra, satu ketukan kedengaran. Zaid membuka pintu. Beberapa ketika dia datang kembali dengan wajah cemas. “Mak, abah. Fuad…Fuad… Dia kemalangan!” Begitulah kisah sendu itu berlaku. Hajah Fatimah membuka mata. Suaminya masih mengaji al-Quran. Sayup-sayup beralun suara Haji Hassan kedengaran. Zaid juga masih di biliknya. Begitulah. Dia diuji pada usia sesenja ini. Anak-anaknya cuma berdua itu sahajalah. Zaid dan Fuad. Fuad dan Zaid. Kini cuma tinggal Zaid, yang beberapa hari lagi akan pulang ke universitinya semula. Perlahan-lahan, titisan lesu mengalir di pipinya. Fuad anak yang baik. Fuad anak yang berbudi bahasa. Pandai menjaga hati orang tua dan mendengar kata. Tidak pernah Fuad mengeluarkan kata yang mengguriskan hati tuanya. Fuad juga anak yang cemerlang dalam pelajarannya. Pernah suatu ketika dahulu, Fuad mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR. Ditanya mengapa dia tidak mahu menerima tawaran sekolah berasrama penuh, anak bujangnya itu menjawab. “Tak mahu. Fuad tak mahu tinggalkan mak, abah. Fuad nak jaga mak. Abah.” Hajah Fatimah terkedu. Kini, anaknya itu meninggalkannya buat selama-lamanya. Hajah Fatimah rasa kehilangan. Suaminya, Haji Hassan kelihatan tenang melalui episod hidup yang menyendukan itu. Haji Hassan memang tabah. Secebis keluhan pun tidak pernah terbit dari bibir tuanya itu. Hajah Fatimah masih ingat lagi. Waktu di hospital melihat arwah anaknya, Chinniah, bapa Baskran meraung-raung meratapi mayat anaknya. “Anak kau, pembunuh! Pembunuh!” Chinniah meluru ingin menerpa Haji Hassan yang sedang berdiri di pintu luar wad kecemasan setelah anak-anak mereka disahkan mati. Wajah Chinniah menyinga. Mujurlah orang-orang kampung menahannya. Haji Hassan hanya melihatnya bersahaja. Di bibirnya tidak henti-henti beristighfar dan berdoa untuk arwah anaknya. Hajah Fatimah di sudut menangis tidak berhenti-henti. Jiran-jiran cuba menenangkan dan mereka berpelukan. Hajah Fatimah masih ingat itu semua. Dia mengesat air mata. Siaran televisyen mula menyiarkan berita. Suaminya baru selesai membaca al-Quran. Kedengaran bunyi rehal ditutup dan disimpan di dalam rak. Tiba-tiba pintu depan diketuk. Serta-merta Hajah Fatimah mencapai tudungnya yang tersidai di kerusi rotan lalu menyarungkannya di kepala. Dia menyeka air mata di pipi sebelum menghampiri pintu depan rumahnya. Pintu dibuka. Chinniah terpampang di muka pintu. Terperanjat Hajah Fatimah. Tetapi, lekas-lekas dia menarik nafas lega setelah melihat raut wajah Chinniah bersahaja. Tidak seperti di hospital tempoh hari. “Chinniah. Masuklah.” Chinniah masuk. Haji Hassan pun baru sahaja keluar dari biliknya. Serta-merta dia mempamerkan senyuman dan menghampiri Chinniah. “Chinniah, masuklah. Duduk, duduk.” Chinniah tidak duduk sebaliknya menghampiri Haji Hassan dan merangkul tangannya. “Maafkan aku Hassan. Aku tak patut buat kau seperti itu tempoh hari. Hatiku tak tenang. Kau tahu sahajalah. Baskran anak harapan aku.” Haji Hassan melepaskan tangannya perlahan dan memegang bahu Chinniah yang berwajah kesal. “Tidak mengapa, Chinniah. Aku tidak pernah menyalahkan kau. Aku faham. Anak aku pun terkorban sama.” Wajah Chinniah mula tenang. Haji Hassan mendorongnya duduk. “Timah, buatkan teh.” Hajah Fatimah bangun dan melangkah ke dapur. Di ruang tamu tinggal Haji Hassan dan Chinniah. Televisyen yang terbuka sedang menyiarkan berita dalam negara. Chinniah menyatakan kekecewaannya terhadap apa yang berlaku dan dia amat terkesan dengan peristiwa itu. Haji Hassan lebih menyabarkan Chinniah dan mengingatkan bahawa kematian pasti menjemput setiap insan, tidak kira tua mahupun muda. “Kita yang masih hidup ini perlu meneruskan kehidupan.” Chinniah memandang wajah Haji Hassan. Direnungnya dalam-dalam. Tabah sungguh orang di depannya itu. Wajahnya terpancar ketenangan yang tidak terhingga. Chinniah tidak mengerti, di mana kawannya itu mendapat kekuatan seperti itu. Umur Haji Hassan tidak jauh beza daripada umurnya. Hajah Fatimah muncul dan menatang teh dan biskut di atas dulang bulat. Diletaknya teh di atas meja dan dituangkannya ke dalam cawan satu persatu. “Jemput, Chinniah.” Chinniah mengangguk. Di kaca televisyen kedengaran lagu dimainkan selepas iklan. Siaran berita disambung semula. Kelihatan pembaca berita berkot hitam sedang memandang ke skrin. “Bertemu kembali. Bapa gadis “jantung mekanikal” yakin anaknya Tee Kim Wah selamat walaupun terpaksa menjalani dua pembedahan pindahan jantung dalam tempoh kira-kira 26 jam di Institut Jantung Negara (IJN) di sini. Tee Ah Kim, 45, yang sehingga kini belum dibenarkan menemui anaknya itu selepas pembedahan kedua pagi ini yakin dengan kepakaran pasukan pakar jantung IJN.” “Tidak kisahlah jantung pertama atau kedua, asalkan Kim Wah berada dalam keadaan selamat,” katanya. Haji Hassan dan Hajah Fatimah serta-merta memberi perhatian. Chinniah yang duduk di sebelah Haji Hassan juga melihat ke skrin televisyen. Sarat keresahan dan serbuan pertanyaan tiba-tiba berlegar di benaknya tatkala menonton berita itu. Dia yang baru sahaja kematian anak menjadi begitu sensitif mendengar hal-hal hidup dan mati seperti ini. “Terdahulu pakar bedah kardiotorasik Datuk Dr Mohd Hakimi Salim berkata keadaan kesihatan remaja perempuan berjantung mekanikal itu semakin stabil selepas menjalani pembedahan pindahan jantung kedua bermula pukul 1 pagi hingga 8 pagi tadi. Dr Hakimi Salim berkata pembedahan pindahan organ itu dibuat kali kedua kerana selepas pembedahan pintasan jantung pertama, didapati pergerakan jantung Tee kurang memuaskan dan kurang stabil daripada segi tekanan darah.” “Kim Wah, 14, yang jantung mekanikalnya akan berhenti berfungsi September tahun depan, selesai menjalani pembedahan pindahan jantung pertama tengah hari semalam setelah dibedah sejak 10 malam kelmarin di IJN, mankala pembedahan kedua yang mengambil masa tujuh jam berakhir 8 pagi ini. Pembedahan kedua itu turut dilakukan pasukan pembedahan yang membuat pembedahan pertama terdiri daripada enam pakar bius, seorang doktor dari Institut Penyelidikan Respiratori dan 30 paramedik yang diketuai Dr Hakimi Salim dan Pengarah Klinikal Pembedahan Jantung dan Hati, Dr Mohamed Fuad Zakaria. Tee yang kelihatan tenag berkata walaupun tidak diberitahu anaknya perlu menjalani pembedahan pindahan jantung kedua, keluarganya tidak akan mempertikaikan sebarang keputusan yang dibuat oleh pakar perubatan.” “Alhamdulillah,” Haji Hassan menggumam syukur. Wajahnya mencerlang rasa gembira. Chinniah melihat perubahan itu. Dia juga berasa lapang kerana nasib gadis perempuan agak baik kerana mendapat penderma yang bermurah hati. Dia memegang gelas, meletakkan hujungnya di bibir dan menghirup perlahan. Matanya masih tertumpu di kaca televisyen. “Remaja perempuan itu yang telah menunggu lebih setahun untuk mendapat jantung daripada penderma, menjalani pembedahan pindahan jantung pertama di IJN kelmarin selepas menerima organ itu daripada seorang jurujual dari Kota Bahru yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan penderma kedua adalah seorang remaja Melayu yang juga meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Jasin.” “Jasin?” Chinniah diserbu pertanyaan. Dia memandang raut wajah Haji Hassan. Haji Hassan memandangnya, kekal tenang dan bersahaja. Dia memandang Hajah Fatimah. Perempuan tua itu mengetap bibirnya rapat-rapat. Matanya dikesip-kesip. “Kau dermakan jantung Fuad?” Khali sejenak. Haji Hassan membetulkan duduknya. Matanya masih terlekat di kaca televisyen beberapa ketika sebelum beralih memandang Chinniah semula. “Fuad meninggal ketika sedang menuntut ilmu, Chinniah. Dia terkorban di jalan Tuhan. Sekiranya dia tidak dapat hidup untuk berbakti kepada agama dan masyarakat, biarlah organ-organnya memberi nyawa kepada yang memerlukan. Mudah-mudahan, penerima organ-organnya akan dapat berbakti kepada agama dan masyarakat. Anakku masih boleh terus hidup, jantungnya akan terus berdegup.” Chinniah masih terkejut. Matanya bulat membuntang dan lidahnya kelu seketika. “Kau dermakan jantung Fuad kepada gadis cina itu?” “Sebiji jantung Melayu masih boleh menjalankan tugas yang sama dalam tubuh seorang Cina, Chinniah.” Perlahan Haji Hassan mengatur bicara. “Luaran kita berbeza, tapi yang selalu kita lupa, dalamannya kita semua sama. Jantung yang sama, hati yang sama, warna darah yang sama.” Chinniah terdiam. Telan liur. Secara tidak sedar, tidak terangguk-angguk perlahan. Hatinya diruntun-runtun rasa, berbaur sayu dan kagum.  Nukilan,Nazrul Aizad bin Ab Hamid
 
< Prev

© 2010 Kolej Islam Sultan Alam Shah
Joomla! is Free Software released under the GNU/GPL License.